Friday 29 September 2017

GLOCK 'C'

Mungkin terdapat individu yang tidak mengetahui bahawa terdapat pistol model GLOCK yang mempunyai huruf di penghujung nombor model, contohnya GLOCK 17C atau 19C berbanding yang biasa iaitu hanya 17 atau 19 sahaja.

Huruf 'C' ini memberi maksud 'Compensated'  dan bukan 'Compact' atau lain-lain istilah.  Perbezaan ketara antara pistol GLOCK 19 Gen4  dan GLOCK 19C Gen4 ialah pada bahagian atas slaid dan juga laras. Pada model 'C' terdapat dua lurah pada bahagian atas slaid yang dipadankan dengan dua lurah kecil, pendek dan memanjang pada laras.

'Compensated' membawa pelbagai maksud dalam Bahasa Inggeris, salah satu darinya ialah 'mengimbangi' dan perkataan ini merupakan maksud paling tepat apabila memperkatakan pistol GLOCK model 'C'. Persoalan kedua yang mungkin ditanya ialah, apakah yang hendak diimbangkan? Untuk menjawab soalan ini kita harus mempunyai sedikit ilmu berkaitan hukum fizik.

Apabila tembakan dilepaskan dan anak peluru meluncur ke hadapan, ia akan membentuk satu tindak balas (hukum fizik aksi-reaksi) yang akan menolak slaid ke belakang. Apabila daya tolakan ini bergerak ke bahagian penggengam tangan ia akan membentuk aksi atau daya baru ke arah bawah. dan ini akan membentuk pula reaksi baru di hujung muncung laras, iaitu menolak muncung laras ke arah atas.

Muncung yang tertolak ke aras atas ini kerap menyebabkan pengendali hilang tenangan, dan pistol sukar di kawal. Lebih berkuasa tinggi peluru diguna, lebih kuat lonjakan ini. Untuk mengimbangi lonjakan ini, satu alur atau lubang dibuat pada bahagian hadapan atas laras serta pada slaid. Tekanan yang menghambur ke atas ini akan menghasilkan aksi ke atas dan reaksi baru ke bawah. Oleh kerana bahagian bawah laras tidak berlubang atau mempunyai alur, reaksi tersebut akan menekan laras ke bawah, seterusnya menghalang lonjakan pada muncung laras.

Dengan wujudnya 'compensator' ini, prestasi tembakan bertalu-talu dapat dilaksana dengan efektif kerana pengendali dapat mengembalikan tenangan pejera ke sasaran dengan lebih pantas, selain tendangan atau rekoil dan lonjakan muncung laras yang lebih rendah.








1 comment:

  1. I think this is a really good article. You make this information interesting and engaging. You give readers a lot to think about and I appreciate that kind of writing.
    Cci 41 primers

    ReplyDelete