Saturday, 30 September 2017

HOLSTER - SARUNG PISTOL

Salah satu perkara yang kerap diperhatikan oleh GLOCK MALAYSIA ketika latihan atau operasi agensi keselamatan atau penguatkuasa di negara ini yang menggunakan pistol sebagai senjata utama mereka ialah kurangnya perhatian diberi kepada holster atau sarung pistol yang tersemat di pinggang mereka.

Holster sebenarnya merupakan salah satu komponen atau kelengkapan yang amat penting kepada individu yang membawa pistol apabila bertugas. Sekiranya holster tidak mempunyai mutu atau kualiti yang baik, ia berkemungkinan akan jatuh atau terkeluar dari kedudukannya. Ini boleh mendatangkan bahaya, pistol mungkin terjatuh dan rosak, hilang atau dirampas oleh individu tidak bertanggung jawab. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa anggota keselamatan yang terjatuh pistolnya ketika bertugas bakal dianggap sebagai cuai, tidak terlatih dan bakal dicemuh oleh pihak awam.

Dikala operasi pula, terutama individu pasukan khas, pergerakan anggota badan yang dilakukan ketika berlari, memanjat, melompat dan pelbagai lagi, kerap akan menguji daya ketahanan holster, dari tercabut, terkoyak atau putus jahitannya.  Oleh kerana pistol dianggap sebagai senjata 'kedua' atau 'secondary', dan hanya digunakan jika berlaku hentian atau kerosakan pada senjata utama (lazimnya submesingan), pistol perlu dioperasikan dengan pantas, dicabut keluar dari sarung, dioperasikan dan tembakan dilepaskan dalam tempoh jangka masa amat singkat.

Walaupun holster yang baik mampu menyimpan pistol agar tidak terkeluar dari sarungnya, beberapa faktor lain perlu diambil kira. Paling utama ialah ia mestilah mempunyai sistem kuncian yang baik, menyebabkan pistol sukar diragut oleh ancaman, namun mudah untuk dikeluarkan oleh pengendali dengan pantas dan selamat. Bahan pembuatannya juga mestilah kalis kepada cuaca panas dan lembap melampau yang terdapat di negara ini selain geseran akibat kerap penggunaan.

Pemilihan holster juga bergantung kepada sistem yang bersesuaian dengan jenis tugas atau penugasan yang bakal dilaksana. Ini termasuklah sama ada sarung tersebut di pakai di luar pakaian seragam secara terbuka dilihat umum, atau disimpan di bawah pakaian bagi tujuan kerahsiaan.
(Semua foto milik GLOCK MALAYSIA)


Bayangkan dalam keadaan sebegini, ancaman muncul, pengendali tidak mempunyai pilihan selain hanya menggunakan sebelah tangan untuk mncapai senjata dan melepaskan tembakan. Ini bermakna sistem pistol adalah yang paling praktikal, malangnya apabila mencapai holsternya, pistol tidak lagi berada ditempatnya. Sesaat dua meraba, mencari pistol mungkin terlalu 'lama' dan risiko ini bakal membawa padah.



Contoh holster yang dipakai di luar pakaian seragam


Contoh holster yang dipakai di bahagian dalam / bawah pakaian

Friday, 29 September 2017

GLOCK 'C'

Mungkin terdapat individu yang tidak mengetahui bahawa terdapat pistol model GLOCK yang mempunyai huruf di penghujung nombor model, contohnya GLOCK 17C atau 19C berbanding yang biasa iaitu hanya 17 atau 19 sahaja.

Huruf 'C' ini memberi maksud 'Compensated'  dan bukan 'Compact' atau lain-lain istilah.  Perbezaan ketara antara pistol GLOCK 19 Gen4  dan GLOCK 19C Gen4 ialah pada bahagian atas slaid dan juga laras. Pada model 'C' terdapat dua lurah pada bahagian atas slaid yang dipadankan dengan dua lurah kecil, pendek dan memanjang pada laras.

'Compensated' membawa pelbagai maksud dalam Bahasa Inggeris, salah satu darinya ialah 'mengimbangi' dan perkataan ini merupakan maksud paling tepat apabila memperkatakan pistol GLOCK model 'C'. Persoalan kedua yang mungkin ditanya ialah, apakah yang hendak diimbangkan? Untuk menjawab soalan ini kita harus mempunyai sedikit ilmu berkaitan hukum fizik.

Apabila tembakan dilepaskan dan anak peluru meluncur ke hadapan, ia akan membentuk satu tindak balas (hukum fizik aksi-reaksi) yang akan menolak slaid ke belakang. Apabila daya tolakan ini bergerak ke bahagian penggengam tangan ia akan membentuk aksi atau daya baru ke arah bawah. dan ini akan membentuk pula reaksi baru di hujung muncung laras, iaitu menolak muncung laras ke arah atas.

Muncung yang tertolak ke aras atas ini kerap menyebabkan pengendali hilang tenangan, dan pistol sukar di kawal. Lebih berkuasa tinggi peluru diguna, lebih kuat lonjakan ini. Untuk mengimbangi lonjakan ini, satu alur atau lubang dibuat pada bahagian hadapan atas laras serta pada slaid. Tekanan yang menghambur ke atas ini akan menghasilkan aksi ke atas dan reaksi baru ke bawah. Oleh kerana bahagian bawah laras tidak berlubang atau mempunyai alur, reaksi tersebut akan menekan laras ke bawah, seterusnya menghalang lonjakan pada muncung laras.

Dengan wujudnya 'compensator' ini, prestasi tembakan bertalu-talu dapat dilaksana dengan efektif kerana pengendali dapat mengembalikan tenangan pejera ke sasaran dengan lebih pantas, selain tendangan atau rekoil dan lonjakan muncung laras yang lebih rendah.